Ragam manusia

Monday, February 05, 2007

Dunia semakin mengecil

Lebih 15 tahun yang lalu kebanyakkan masyarakat di Malaysia akan lebih cenderung untuk menangis di lapangan terbang apabila menghantar anak-anak mereka menuntut di luar negara.

Bahkan ada juga yang menangis di stesen bas walaupun jarak perpisahan dengan anak-anak mereka hanyalah sekitar 500 kilometer sahaja.

Namun bagi yang menuntut di luar negara, perpisahan ini mungkin amat terasa kerana hanya kenderaan laut dan udara sahaja yang boleh menyatukan mereka. Perpisahan secara fizikal selama empat tahun adalah perkara biasa. Para pelajar yang menuntut di luar negara hanya mampu pulang apabila dibiayai oleh penaja atau tamat pengajian.

Penulis sendiri mempunyai ahli keluarga yang tak pernah pulang ke tanah air selama lebih 10 tahun kerana menuntut ilmu. Ini terjadi kerana perjalanan pulang mengambil masa yang agak lama atau melibatkan kos yang tinggi. Pada ketika itu hanya surat yang menjadi penyambung rindu antara ibu dan anak.

Sejak zaman Internet mula berkembang pesat sekitar 10 tahun yang lalu, dunia sudah menjadi semakin sempit. Ibu dan anak boleh berhubung secara live dengan teknologi Internet. Zaman digital ini menyebabkan gambar boleh dihantar dengan pantas. Bahkan panggilan telefon juga telah menjadi semakin murah.

Bagi yang mempunyai anak yang menuntut di United Kingdom (UK), kerinduan seorang ibu dengan anaknya tidak begitu terasa kerana anak-anak mereka kerap menelefon mereka. Dengan hanya membayar sebanyak GBP 25 (RM 175) sebulan, seseorang itu boleh membuat panggilan telefon sebanyak 1000 minit sebulan ke Malaysia.

Bahkan dengan tambang-tambang murah yang disediakan oleh syarikat penerbangan dari UK ke Malaysia menjadikan jarak antara UK dengan Malaysia hanya selama 13 jam sahaja. Ia hampir menyamai jarak masa Kota Bharu ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas. Dengan adanya penerbangan tambang murah yang bakal disediakan oleh AirAsia X, penulis menjangkakan para pelajar di UK akan pulang ke Malaysia dua kali setahun dan bukan lagi dua tahun sekali.

Perhubungan yang lebih pantas ini juga telah mewujudkan satu fenomena baru dalam industri di dunia. Pada hari ini bagi struktur yang besar seperti pembinaan pesawat, ia tidak lagi dibina di satu tempat. Sebagai contohnya, bagi pembinaan pesawat Airbus, mereka telah melaksanakan konsep Just In Time (Tepat pada Masanya). Bahagian struktur utama badan pesawat telah dibina di beberapa buah negara di Eropah dan pemasangan akan dilakukan di satu pusat pemasangan pesawat. Pesawat kargo Airbus yang bernama Beluga telah digunakan bagi mengangkut struktur tersebut ke pusat pemasangan seperti Toulouse di Perancis atau Hamburg di Jerman.

Konsep yang pada awalnya hanya digunakan oleh Airbus telah diguna pakai oleh Boeing bagi pembinaan pesawat barunya iaitu Boeing 787 Dreamliner. Tetapi Boeing telah lebih mengejutkan kerana pembinaan komponen utamanya melibatkan Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Itali. Ini dilakukan bagi menjimatkan masa dan kewangan.

Untuk membawa komponen utama ke AS, Boeing telah mengubahsuaikan tiga buah pesawat Boeing 747-400 yang dipanggil Dreamlifter (Pengangkut Impian) dengan membesarkan ruang badannya atau fuselage. Yang peliknya proses pengubahsuaian ini dilakukan di Taiwan dan bukannya di syarikat Boeing di AS. Ini kerana kos pengubahsuaian yang dilakukan di Taiwan oleh Evergreen lebih murah jika dibandingkan dengan Boeing sendiri di AS.

Banyak syarikat dalam industri pesawat di negara Barat telah mengalihkan sektor pembuatan ke negara yang mempunyai tenaga mahir yang ramai dengan kos yang rendah. Antara negara yang menjadi tumpuan sekarang ini adalah China dan India. Malaysia pun tidak terkecuali dalam hal ini. Tetapi kemudahan yang terhad telah menjadikan Malaysia masih belum mampu berada dalam peta dunia dalam bidang ini.

Langkah yang paling utama untuk menarik industri ini adalah dengan memanjangkan landasan di lapangan terbang yang sedia ada agar pesawat kargo Boeing 747 boleh berlepas dari lapangan terbang tersebut. Hari ini hanya lapangan terbang KLIA dan Subang sahaja yang boleh mengikut spesifikasi pesawat ini. Lapangan Terbang Bayan Lepas hanya boleh digunakan jika pesawat Boeing 747 tidak membawa muatan berat maksimum.

Dalam industri pembinaan pesawat, Boeing 747 telah dijadikan kayu ukur bagi pengangkutan sesuatu saiz struktur yang akan dibina. Jika tak boleh menggunakan pesawat ini, syarikat pembuat perlu memikir cara pengangkutan alternatif bagi mengangkut struktur tersebut dengan pantas. Sebagai contohnya, setiap rekaan enjin baru yang akan dibina oleh Rolls Royce mesti mempunyai diameter yang boleh dibawa masuk ke dalam pesawat kargo Boeing 747.

CTRM adalah sebuah syarikat milik kerajaan yang terlibat dalam industri pembinaan pesawat dan mempunyai pusat operasi dan pembuatan berhampiran Lapangan Terbang Batu Berendam di Melaka. CTRM telah membuat beberapa komponen utama pada sayap pesawat Airbus A380. Landasan adalah ibarat pelabuhan darat di mana kapal terbang boleh mendarat dan berlepas. Sepatutnya lapangan terbang ini sudah mempunyai landasan yang lebih panjang sehingga 3700 meter jika dibandingkan dengan hari ini hanya 2372 meter. enulisan percaya jika landasan tersebut dapat dipanjangkan, CTRM akan berpotensi untuk menjadi pusat pembuatan komponen yang lebih besar.

Tetapi disebabkan masyarakat kita yang lebih cenderung menganggap kapal terbang untuk membawa penumpang menyebabkan kita lebih pentingkan saiz bangunan terminal jika dibandingkan dengan saiz landasan. Kebanyakan saiz sesebuah lapangan terbang di dunia ditentukan berdasarkan saiz landasan. Dengan meningkat bilangan landasan di dunia akan menjadikan dunia ini semakin sempit kerana pengiraan jarak bukan lagi berdasarkan jarak jauh, bahkan jarak masa.

* DR. MOHD. ROSHDI HASSAN ialah pensyarah Universiti Putra Malaysia yang sedang berkhidmat di Rolls Royce UTC, University of Sheffield, United Kingdom.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home