Ragam manusia

Thursday, February 01, 2007

Kita wajar guna nama tempat, jalan berimej Malaysia

MERUJUK kepada tulisan T. S. Lanang bertajuk Penjajahan akal di kalangan kita masih tebal dalam ruangan forum Utusan Malaysia bertarikh 30 Januari 2007, saya amat bersetuju dengan pendapat beliau yang bernas.

Menurut tulisan beliau, setelah 50 tahun kita merdeka, penjajahan akal kita masih menebal. Banyak nama tempat di Malaysia yang diambil sempena nama berorientasikan penjajah.

Saya menyokong penuh kenyataan beliau. Jika kita lihat pada hari ini, kewujudan nama tempat berbau Inggeris ini menunjukkan seolah-olah kita masih berada dalam era penjajahan walaupun negara kita telah lama merdeka.

Nama seperti Georgetown, Queens Bay, Rafflesia, Hospital Queen Elizabeth cukup untuk menggambarkan betapa kita tidak mempunyai identiti sendiri yang kukuh.

Itu belum lagi dinyatakan pelbagai nama sekolah, hotel, kelab, perkhidmatan dan syarikat milik tempatan yang menggunakan nama Inggeris. Adakah kita memerlukan nama King Edward, King George dan Queen Victoria dalam penamaan sesebuah tempat di negara ini?

Di manakah pula kita meletakkan nama raja, sultan, pemimpin, pahlawan dan tokoh negara kita sendiri?

Adakah nama sesuatu tempat itu akan menjadi tidak menarik dan tidak glamor jika menggunakan nama yang mencerminkan identiti Malaysia?

Sepatutnya setelah separuh abad kita merdeka, kita sudah mempunyai identiti serta jati diri yang teguh dan meninggalkan budaya Barat yang dibawa masuk dalam era penjajahan.

Namun apa yang terjadi pada hari ini adalah sebaliknya. Bukan sahaja ke atas nama tempat, malah ideologi penjajah ini turut terpahat di jiwa rakyat Malaysia, seolah-olah taksub dengan identiti penjajah.

Rakyat kita lebih berbangga mempunyai nama panggilan berbunyi Barat. Lebih berbangga mengenakan pakaian penjajah berbanding pakaian keturunan sendiri.

Lebih berbangga bertutur bahasa Inggeris berbanding bahasa bangsa sendiri. Inikah realiti Malaysia setelah 50 tahun merdeka?

Inikah identiti Malaysia yang dikenali di mata dunia sebagai Truly Asia? Di manakah identiti Asia yang diuar-uarkan?

Saya pasti, jika para pejuang kemerdekaan kita semenjak dijajah empat kurun lalu masih hidup, mereka pasti amat kecewa melihat keadaan kita pada hari ini.

Bersusah payah mereka berusaha menggapai impian menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, akhirnya anak cucu mereka mengagungkan penjajah walaupun sudah bebas. Sayang seribu kali sayang. Penjajahan sudah lama berakhir, namun apa yang timbul kini ialah penjajahan ke atas mentaliti rakyat Malaysia.

Adakah wajar kita menjadi seperti Singapura yang telah menukar nama tempat dan jalan utama menjadi nama Inggeris?

Namakan sahaja Robinson Road, Stamford Road, Queen Street, Stanley Street, Victoria Street. Sekali kita mendengar, pasti tidak teragak untuk berfikir wajarkah negara Asia yang berdaulat menggunakan nama penjajah sebagai nama tempat dan jalan?

Nama tempat yang mencerminkan identiti penjajah haruslah dihapuskan segera dari negara kita dan digantikan dengan nama yang mempamerkan imej Malaysia kepada dunia. Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 dan Tahun Melawat Malaysia 2007, wajarlah nama era penjajahan ini ditukar.

Walaupun rakyat kita seramai 25.6 juta orang terdiri daripada 105 etnik, berpuluh-puluh bahasa dan berbeza latar belakang, namun kita mempunyai satu identiti yang serupa, iaitu identiti sebagai anak Malaysia yang berdaulat.

– AIMI RAMIZAH ROSLAN,

UiTM, Shah Alam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home