Ragam manusia

Wednesday, January 31, 2007

Penambakan Pulau Tekong punca banjir

JOHOR BAHRU: Penambakan Pulau Tekong berhadapan muara Sungai Johor oleh Singapura sejak lebih tiga tahun lalu, dipercayai antara punca daerah Kota Tinggi terutama pusat bandarnya ditenggelami air lebih tiga meter dalam banjir besar 12 Januari lalu.

Peluasan pulau milik republik itu dikatakan menyebabkan muara Sungai Johor menjadi sempit dan menyukarkan air mengalir ke laut serta mengganggu pasang surut air laut. Laluan air yang tidak lancar menyebabkan Sungai Johor yang melalui pusat bandar Kota Tinggi melimpah dan menenggelamkan bandar itu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mengesahkan aliran Sungai Johor yang tidak lancar dan pertembungan arus Selat Johor dengan sungai berkenaan kerana fenomena air pasang besar menyumbang kepada banjir besar itu.

“Pada hari pertama banjir kedua, hujan begitu banyak dan apa yang saya lihat dari tinjauan udara adalah arus Sungai Johor mengalir tidak begitu lancar ke Selat Johor terutama sekali di kawasan muara... mungkin disebabkan penambakan itu,” katanya.

Abdul Ghani berkata demikian pada majlis penyerahan cek bantuan bencana banjir disumbangkan Yayasan Albukhary dan Bank Rakyat Malaysia kepada kerajaan Johor di sini semalam.

Yayasan Albukhary menyumbang RM5 juta kepada Tabung Bencana Banjir negeri, manakala Bank Rakyat menderma RM150,000.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof; Naib Pengerusi Eksekutif Yayasan Albukhary, Datuk Ismail Yusof; Pengerusi Pelabuhan Tanjung Pelepas, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman dan Ketua Wilayah Selatan Bank Rakyat, Mohamad Nasip Saiat.

Abdul Ghani berkata, kajian terperinci perlu dilakukan untuk memastikan kesan sebenar kerja penambakan itu terhadap negeri berkenaan.

“Saya tidak mahu dituduh menuding jari kepada pihak lain atas apa yang berlaku di Kota Tinggi dalam banjir kedua lalu, tetapi kita sedang mengumpul semua bukti saintifik termasuk kemungkinan melantik pakar bagi mengkaji kesan penambakan berkenaan terhadap aliran air Sungai Johor, terutama sekali di muara sungai,” katanya.

Kajian yang dibentangkan Pakar Teknikal Jabatan Geografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini mendedahkan projek penambakan laut oleh Singapura memberi kesan buruk terhadap alam sekitar, ekologi pantai dan muara Sungai Johor dan Selat Johor.

Prof Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah yang membentangkan maklumat tiga kajian teknikal di Tribunal Antarabangsa Mengenai Undang-Undang Laut (ITLOS) di Hamburg, Jerman pada 2003, berkata kerja penambakan itu akan memberi kesan buruk terhadap keadaan hidrodinamik pantai dan sifat gelombang.

Kesan itu meliputi aliran keladak, hakisan, kadar mendapan, hidroekologi, pendudukan, perikanan, aliran air pasang surut, mutu air, kepekatan garam, pelayaran, tempat berlabuh dan kekukuhan jeti.

Penambakan kawasan laut sekitar Pulau Tekong menggandakan saiz pulau itu dan mengurangkan jarak dengan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Tanjung Pengelih kepada kira-kira 0.75 kilometer (km) berbanding 1.8 km sebelum ini.

Kerja pembesaran Pulau Tekong meningkatkan permukaan pulau itu sebanyak 184 peratus atau 35 kilometer persegi serta mengurangkan lebar terusan utama perkapalan dari 4.12 km kepada 2.74 km.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai cadangan memindahkan bandar Kota Tinggi seperti disyorkan seorang pakar seperti dilaporkan akhbar ini semalam.

Katanya, walaupun cadangan itu ada kebenarannya, masih ada langkah lain yang boleh diambil termasuk mendalamkan Sungai Johor selain meninggikan tebing sungai yang bersebelahan bandar Kota Tinggi.

“Itu antara cadangan yang kita kemukakan kepada Kerajaan Pusat dalam mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri semalam (kelmarin), dan ia sedang dikaji,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home