Ragam manusia

Thursday, February 01, 2007

Penambakan laut Pulau Tekong bukan punca banjir

JOHOR BAHRU 31 Jan. – Banjir besar di bandar Kota Tinggi bukan disebabkan aktiviti penambakan laut di Pulau Tekong, Singapura.

Ini kerana jika aktiviti itu menjadi punca banjir di daerah berkenaan, sudah tentu kawasan yang berhampiran dengan pulau itu seperti Tanjung Surat, Tanjung Langsat dan Tanjung Buai serta Sungai Lebam turut dilanda banjir.

Ketua Jabatan Hidro dan Hidrologi, Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Prof. Madya Dr. Sobri Harun berkata, ketiga-tiga kawasan terbabit tidak dinaiki air semasa gelombang kedua bencana itu melanda Kota Tinggi.

‘‘Selain itu, kedudukan bandar Kota Tinggi yang terletak jauh dari muara Sungai Johor tidak memungkinkan aktiviti penambakan menjadi punca bandar itu ditenggelami air,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang menyebut penambakan Pulau Tekong berhadapan muara Sungai Johor oleh Singapura sebagai antara punca daerah Kota Tinggi teruk dilanda banjir pada 12 Januari lalu.

Perluasan pulau milik republik itu dikatakan menyebabkan muara Sungai Johor menjadi sempit lalu menyukarkan air mengalir ke laut dan mengganggu pasang surut air laut.

Dr. Sobri sebaliknya yakin banjir di Kota Tinggi berpunca daripada air terlalu deras yang turun dari Banjaran Gunung Tahan melalui Sungai Linggiu.

Tambahan pula, menurutnya, kawasan hulu Sungai Linggiu tidak mempunyai satu empangan yang besar untuk menampung hujan orografik atau hujan monsun.

‘‘Kalau ada satu kawalan di situ, sekurang-kurangnya kederasan air dari Banjaran Gunung Tahan dapat diperlahankan.

‘‘Kederasan air dari anak Sungai Johor terutamanya Sungai Linggiu menyebabkan paras air naik dengan begitu cepat,” katanya.

Menurut Dr. Sobri, dua anak sungai iaitu anak Sungai Johor yang mengalir sehingga ke Layang-Layang dan Sungai Linggiu sebenarnya penyumbang utama kepada banjir di Kota Tinggi baru-baru ini.

Justeru, beliau mencadangkan supaya satu bentuk kawalan air segera diadakan di bahagian Sungai Linggiu seperti membina kolam takungan atau tadahan.

‘‘Langkah ini perlu kerana sehingga kini tiada satu kolam takungan atau tadahan di kawasan Sungai Linggiu dan kos pembinaan kolam takungan bukanlah begitu mahal berbanding kos pembinaan sebuah empangan,” ujarnya.

Dengan adanya kolam tersebut, air boleh dilepaskan ke kawasan yang tidak berpenduduk apabila tiba waktu banjir.

Beliau mengesyorkan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) bekerjasama dengan Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd. (SAJ) dalam mencari kaedah pengurusan empangan yang baik untuk mengatasi masalah banjir.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home