Ragam manusia

Wednesday, January 31, 2007

Wujudkan segera masjid kelas ‘A’

Oleh Khairuddin Mohd. Zain

BANYAK pihak mencadangkan tentang keperluan masjid bangkit menjadi sebuah pusat pembangunan komuniti yang holistik dan bersepadu. Namun, pandangan demi pandangan ini bagaikan tidak disambut dengan usaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan masjid kelas ‘A’ yang mampu menjadi contoh kepada kaedah pengurusan masjid di seluruh Malaysia.

Ketika kita berbicara tentang keperluan memperkasa pengurusan masjid, tiada sebarang contoh nyata yang mampu membuktikan bahawa saranan ini sedang diambil perhatian oleh agensi dan badan-badan berkaitan yang memantau usaha ini. Masjid masih lagi kekal sebagai institusi ‘agama’ semata-mata dan masih lagi gagal diterjemah dalam konsep asasnya yang mampu menjadi pemangkin kepada pelbagai usaha pembangunan komuniti setempat.

Ironinya, baru baru ini, penulis berasa amat berbangga kerana sebuah masjid yang ‘kecil’ dan sedikit terpencil di AU3 Keramat mampu mengambil inisiatif untuk menawarkan beberapa program diploma, dengan kerjasama sebuah universiti tempatan. Kerjasama dengan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya ini bagai membayangkan bagaimana pantasnya sesetengah penjawat awam untuk menterjemah saranan yang diperkatakan oleh kepimpinan kerajaan. Yang lebih penting, kelihatan bagaimana bersungguhnya jawatankuasa masjid berkaitan untuk memikirkan pelbagai program yang mampu dilaksanakan demi kepentingan ahli kariah berkaitan.

Mungkin banyak lagi masjid yang telah mengambil langkah yang sama, namun setakat ini, Masjid Al-Khairiah yang terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur dan berada di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ini masih lagi menjadi contoh jelas yang mampu penulis tuliskan di sini. Mana lagi model-model masjid yang boleh diguna pakai untuk dilaksanakan di seluruh negara?

Masjid kelas A tidak bermaksud ia sebuah masjid yang kubahnya besar, menaranya tinggi, rekaan dalamannya yang tersohor – tetapi menjurus kepada sebuah masjid yang sebenar-benarnya mampu berperanan sebagai sebuah ‘pusat pembangunan komuniti’ setempat. Masjid yang lengkap dengan prasarana sekolah agama (sama ada dalam bentuk SRA atau Kelas KAFA, pusat tuisyen, penawaran sijil/diploma pengajian tertentu (bidang Pengajian Islam atau Sains Kemanusiaan), pusat perniagaan kecil, kelas ICT, pusat Internet (yang dikawal) dan lain-lain kemudahan yang memungkinkan masjid dilihat sebagai pusat yang benar-benar berpengaruh.

Kita sudah terlalu lama membiarkan masjid menjadi sebuah institusi yang terasing dengan kehidupan seharian. Justeru, peranannya menjadi terlalu ‘kemajlisan’ (ceremonial) dan tidak lagi berpengaruh. Penulis sendiri dalam sebuah konvensyen parti politik di Wilayah Persekutuan, membangkitkan tentang keperluan kita mempunyai ‘model’ masjid kelas A yang diperkatakan.

Kita cukup maklum, bahawa bagi merealisasikan kewujudan masjid yang lengkap sifatnya, ia memerlukan kerjasama banyak pihak. Tidak begitu molek sekiranya kita menuding terus telunjuk kita kepada jabatan agama semata-mata. Ia memerlukan kerjasama semua pihak – malahan memerlukan sinergi dan persetujuan banyak kementerian yang mungkin boleh terlibat secara langsung. Tidak kurang juga sokongan dan dukungan pihak berkuasa tempatan yang seharusnya juga mula melihat masjid sebagai institusi yang penting.

Rakyat secara umumnya ternanti-nanti sebuah ‘model masjid kelas A’ yang boleh direalisasikan, sebagai permulaan satu masjid di setiap negeri. Penulis juga bersetuju dengan pandangan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri dalam sebuah rancangan bual bicara di RTM 1 baru-baru ini, tentang keperluan institusi masjid diberikan ‘nafas baru’ dalam kadar yang segera.

Hakikatnya, sebuah masjid kecil di AU3 telah pun membuktikan tidak sukar sebenarnya mendapat kerjasama universiti tempatan dalam menyediakan program sijil atau diploma dalam Pengajian Islam. Mengapa idea dan kemahuan ini tidak disambut oleh pihak-pihak lain? Atau kita sememangnya gemar membiarkan masjid kita lesu – kecuali apabila tiba hari Jumaat ataupun Hari Raya.

Bukankah mampu kita menampilkan budaya keilmuan yang hebat, sekiranya ada waktu anak-anak kita pula mampu melihat ibu bapa mereka menaiki pentas untuk menerima sijil Pengajian Islam, Sains Politik, Psikologi mahupun Bahasa Arab dengan kerjasama universiti tempatan di masjid. Penulis merasakan, inilah segmen yang terlalu kurang kita berikan perhatian saat kita berbicara tentang mewujudkan sebuah tamadun Islam yang unggul.

Jauh sekali untuk melihat masjid yang ‘mesra belia dan generasi muda’. Sekadar teringat tentang konflik pimpinan masjid ‘lama’ dan ‘baru’ dalam novel besar berjudul Imam. Di mana salah dan silap, sekiranya masjid menyediakan ruang untuk generasi muda bersukan, seperti gelanggang sepak takraw ataupun street soccer dalam kawasan masjid – asalkan disiplin dan adab dipelihara dengan baik.

Apa sumbangan masjid dalam menentukan generasi muda menjauhi gejala negatif, seperti dadah, sekiranya ingatan itu hanyalah hadir beberapa kali setahun dari atas mimbar. Apa program yang mampu dilaksanakan secara bersama dengan masjid untuk membolehkan generasi muda mendekati masjid secara yang lebih kerap.

Kita tidak boleh lagi melaksanakan program yang bersifat bermusim dan tidak mempunyai kesinambungan. Untuk itu berlaku, program yang bersifat jangka panjang dan sentiasa mendekatkan generasi muda kepada masjid mestilah dirangka. Masjid kelas A sewajarnya mempunyai program yang bersifat sedemikian rupa.

Mungkin penulis terlalu idealistik, tapi kita tidak boleh menunggu lama untuk melihat ‘model’ masjid yang lengkap sedemikian dilaksanakan segera. Masjid yang sedemikian sifatnya, pasti mampu sedikit sebanyak mendekatkan masyarakat dengan pelbagai modul pembangunan insan yang lebih berkesan. Wujudnya pusat asuhan kanak-kanak, sehinggalah pusat interaksi warga emas di kawasan masjid pasti memperlihat keberkesanan pelbagai program yang dijayakan oleh kerajaan.

Jangan dibiarkan pembangunan masjid yang ‘hebat’ luarannya tidak diisi dengan pelbagai program yang mampu menarik masyarakat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home