Ragam manusia

Monday, February 05, 2007

Kerap memandu tingkat risiko hidap barah

WASHINGTON: Hasil penemuan awal satu kajian dari sebuah universiti di sini mendapati kekerapan memandu kenderaan boleh meningkatkan kemungkinan seseorang menghidap barah kulit.

Penyelidik Universiti St Louis, Scott Fosko berkata hasil kajian dijalankan menunjukkan kaitan antara kekerapan memandu kenderaan dengan banyaknya penyakit barah kulit di bahagian badan yang lebih terdedah kepada sinaran matahari di kalangan lelaki.

Beliau berkata, Hasil kajian itu yang dikemukakan dalam pertemuan tahunan Akademi Dermatologi Amerika di sini, juga mendapati data awal menunjukkan individu yang berusia kurang 70 dan menghabiskan kebanyakan masa setiap minggu dengan memandu kereta, mempunyai lebih kemungkinan menghidap barah kulit pada sebelah badan.

“Penemuan ini menyokong andaian bahawa masalah ini berpunca daripada pendedahan kulit kepada sinaran ultra ungu ketika memandu,” katanya.

Beliau berkata hasil kajian juga mendapati mereka yang memandu kenderaan dengan membiarkan cermin tingkap terbuka mempunyai risiko lebih tinggi diserang penyakit barah kulit.

Barah kulit adalah penyakit yang paling biasa berlaku di kalangan penduduk Amerika dengan lebih sejuta orang dikesan menghidapinya setiap tahun.

Fosko bersama rakannya membuat kajian dan pemerhatian terhadap 1,047 pesakit barah kulit lelaki dan mendapati 53 peratus daripada mereka menghidapinya pada sebelah bahagian badan.

Bagaimanapun kajiannya mendapati penyakit barah kulit sebelah bahagian badan tidak berlaku dikalangan wanita.

“Perbezaan jantina ini mungkin disebabkan lelaki yang lebih kerap memandu berbanding wanita,” katanya. – Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home