Ragam manusia

Thursday, February 01, 2007

Perlukah iklan kita guna selebriti asing?

IKLAN jika dibentuk dengan tangan yang kreatif dan jiwa yang bebas, ia menjadi senjata yang berkesan.

Namun jika ia dilahirkan dengan nilai yang songsang bahkan berkiblatkan Barat, sarat dengan nilai kebendaan dan kebobrokan, maka ia akan menjadi racun yang bisa.

Lihatlah sahaja betapa iklan Petronas, dan iklan kempen kesihatan, keselamatan jalan raya, anti dadah dan kempen budi bahasa dan selainnya mudah difaham dan diminati khalayak ramai.

Betapa mesej yang disajikan mudah, jelas dan terus terang. Model iklan pula bukan selebriti, bukan orang ternama tetapi budak kampung dan anggota masyarakat kerdil yang diterima ramai.

Maka tidak hairanlah bahasa bukan verbal dan mesej verbal yang disampaikan menarik perhatian dan mengusik jiwa.

Jalan cerita dan daya tarikan yang digambarkan menepati sasaran. Tiada teknik, tiada strategi yang asing sehingga memeningkan sasaran.

Yang nyata ialah strategi emosi dan logika. Persembahan langsung membudayakan masyarakat dan memasyarakatkan budaya lokal bukan asing.

Justeru, falsafah dan nilai yang disajikan berkiblatkan ajaran agama, nilai dan norma budaya setempat. Contohnya, perlukah untuk mengiklan syampu mahupun minyak wangi, iklan kita menggunakan selebriti, orang ternama, jelitawan asing yang mirip Pan-Asia?

Adakah anak gadis kita tidak jelita lagi menawan? Berapa ramai wajah kita macam anak kacukan? Adakah ia gambaran demografi penduduk sebenar? Bukankah ia penjajahan budaya dan memperlecehkan minda kelas pertama? Bukankah ia melemahkan jati diri dan rasa kebanggaan diri kita?

Hakikat industri iklan kita kebaratan nyata sekali dan selagi wajah anak gadis kita tidak kelihatan atau kurang kelihatan dalam iklan syampu dan barang kecantikan, maka fenomena penjajahan minda akibat kebobrokan jati diri kita dan tingkahlaku orang di sebalik tabir akan sentiasa menguasai senario industri.

Jalan penyelesaian supaya penjajahan minda dan budaya dielakkan dengan kita memasyarakatkan iklan dan membudayakan urusan perniagaan dengan pemasaran dan promosi yang berkesan. Budaya iklan dan promosi perlu disemadikan sama hebat seperti kita memasyarakatkan minat kita terhadap sukan bola sepak dan lain.

Untuk itu, para pemain industri iklan dengan kerjasama para cendekiawan komunikasi pemasaran perlu duduk semeja membincangkan isu ini dengan bijak lagi saksama.

Jika kita lalai dan lambat, maka selagi itu budaya kita akan terus dijajah dan minda sentiasa dikawal oleh nilai asing atas dasar dunia tanpa sempadan. Tepuk dada tanya selera.

– Prof Madya Mohamad Md Yusoff,
USM, P. Pinang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home