Ragam manusia

Wednesday, January 31, 2007

Mesti bayar selepas pinjam

Oleh KHAIROL ANUAR MASUAN

AKHIR-akhir ini kita sering mendengar mengenai kesanggupan Ah Long melakukan jenayah terhadap peminjam. Pelbagai cara cara digunakan untuk mendapatkan wang mereka kembali yang telah berlipat kali ganda jumlahnya.

Kelmarin pula, kita ada membaca melalui laporan akhbar bahawa selain daripada Ah Long, peminjam juga akan dikenakan tindakan.

Pada pandangan penulis, amaran sebegini adalah amat penting bagi mengelakkan gejala Ah Long. Jika tiada orang yang ingin meminjam daripada Ah Long, ada kemungkinan gejala ini akan lenyap. Ini kerana Ah Long juga tahu “pelaburan” mereka itu tidak mendatangkan hasil langsung dan lama-kelamaan gejala ini dengan sendirinya akan hilang.

Penulis juga ingin mengaitkan tentang satu keajaiban di Bangladesh. Dr. Muhammad Yunus telah menubuhkan sebuah bank khusus untuk memberi pinjaman mikro kepada rakyat Bangladesh. Pengasas bank ini menamakannya Bank Grameen. Tujuannya mulia. Caranya mudah. Pembayaran balik adalah seminimum mungkin. Hasilnya hebat. Malah penulis boleh mengatakan bank ini juga telah memalukan Bank Dunia dan juga Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam bentuknya yang tersendiri. Ini kerana matlamatnya telah tercapai.

Dinobatkan

Lebih manis daripada itu, pada 10 Disember lepas, pengasas bank ini telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Nobel. Dr. Yunus membawa pulang sejumlah 10 juta Swedish crown. Tetapi kemenangan sebenar Bank Grameen ialah ia telah mengubah kehidupan ramai warga Bangladesh. Pinjaman yang diberikan telah membuka mata rakyat Bangladesh untuk memulakan sesuatu perniagaan. Selain itu ia juga tiada cagaran.

Penulis juga tertarik dengan pandangan Dr Yunus yang menyatakan bahawa kemiskinan adalah musuh kepada keamanan. Keamanan yang dimaksudkan oleh pengasas bank ini ialah kesejahteraan.

Kata-kata beliau ada asas. Jika sesebuah keluarga kesempitan wang maka akan terjadi pelbagai musibah. Ini termasuk perceraian, anak lari dari rumah dan pelbagai lagi.

Sekurang-kurangnya apa yang diusahakan oleh Bank Grameen ialah mengurangkan kesempitan hidup. Oleh itu institusi bank ini berjaya mengubah cara hidup orang Bangladesh. Selain itu juga ia memperlihatkan bagaimana harapan diletakkan di bahu anak tempatan untuk membantu masyarakatnya. Jika meminta bantuan luar, selama itulah mereka akan terus tertekan.

Di Malaysia ada banyak bank yang menawarkan pinjaman peribadi dan untuk usahawan kecil. Malahan kerajaan juga ada menyediakan dana untuk golongan ini.

Cumanya ialah mereka sering mencari jalan mudah untuk mencari Ah Long. Jadilah peminjam yang diiktiraf dengan meminjam dari institusi yang disahkan.

Wujudkan segera masjid kelas ‘A’

Oleh Khairuddin Mohd. Zain

BANYAK pihak mencadangkan tentang keperluan masjid bangkit menjadi sebuah pusat pembangunan komuniti yang holistik dan bersepadu. Namun, pandangan demi pandangan ini bagaikan tidak disambut dengan usaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan masjid kelas ‘A’ yang mampu menjadi contoh kepada kaedah pengurusan masjid di seluruh Malaysia.

Ketika kita berbicara tentang keperluan memperkasa pengurusan masjid, tiada sebarang contoh nyata yang mampu membuktikan bahawa saranan ini sedang diambil perhatian oleh agensi dan badan-badan berkaitan yang memantau usaha ini. Masjid masih lagi kekal sebagai institusi ‘agama’ semata-mata dan masih lagi gagal diterjemah dalam konsep asasnya yang mampu menjadi pemangkin kepada pelbagai usaha pembangunan komuniti setempat.

Ironinya, baru baru ini, penulis berasa amat berbangga kerana sebuah masjid yang ‘kecil’ dan sedikit terpencil di AU3 Keramat mampu mengambil inisiatif untuk menawarkan beberapa program diploma, dengan kerjasama sebuah universiti tempatan. Kerjasama dengan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya ini bagai membayangkan bagaimana pantasnya sesetengah penjawat awam untuk menterjemah saranan yang diperkatakan oleh kepimpinan kerajaan. Yang lebih penting, kelihatan bagaimana bersungguhnya jawatankuasa masjid berkaitan untuk memikirkan pelbagai program yang mampu dilaksanakan demi kepentingan ahli kariah berkaitan.

Mungkin banyak lagi masjid yang telah mengambil langkah yang sama, namun setakat ini, Masjid Al-Khairiah yang terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur dan berada di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ini masih lagi menjadi contoh jelas yang mampu penulis tuliskan di sini. Mana lagi model-model masjid yang boleh diguna pakai untuk dilaksanakan di seluruh negara?

Masjid kelas A tidak bermaksud ia sebuah masjid yang kubahnya besar, menaranya tinggi, rekaan dalamannya yang tersohor – tetapi menjurus kepada sebuah masjid yang sebenar-benarnya mampu berperanan sebagai sebuah ‘pusat pembangunan komuniti’ setempat. Masjid yang lengkap dengan prasarana sekolah agama (sama ada dalam bentuk SRA atau Kelas KAFA, pusat tuisyen, penawaran sijil/diploma pengajian tertentu (bidang Pengajian Islam atau Sains Kemanusiaan), pusat perniagaan kecil, kelas ICT, pusat Internet (yang dikawal) dan lain-lain kemudahan yang memungkinkan masjid dilihat sebagai pusat yang benar-benar berpengaruh.

Kita sudah terlalu lama membiarkan masjid menjadi sebuah institusi yang terasing dengan kehidupan seharian. Justeru, peranannya menjadi terlalu ‘kemajlisan’ (ceremonial) dan tidak lagi berpengaruh. Penulis sendiri dalam sebuah konvensyen parti politik di Wilayah Persekutuan, membangkitkan tentang keperluan kita mempunyai ‘model’ masjid kelas A yang diperkatakan.

Kita cukup maklum, bahawa bagi merealisasikan kewujudan masjid yang lengkap sifatnya, ia memerlukan kerjasama banyak pihak. Tidak begitu molek sekiranya kita menuding terus telunjuk kita kepada jabatan agama semata-mata. Ia memerlukan kerjasama semua pihak – malahan memerlukan sinergi dan persetujuan banyak kementerian yang mungkin boleh terlibat secara langsung. Tidak kurang juga sokongan dan dukungan pihak berkuasa tempatan yang seharusnya juga mula melihat masjid sebagai institusi yang penting.

Rakyat secara umumnya ternanti-nanti sebuah ‘model masjid kelas A’ yang boleh direalisasikan, sebagai permulaan satu masjid di setiap negeri. Penulis juga bersetuju dengan pandangan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri dalam sebuah rancangan bual bicara di RTM 1 baru-baru ini, tentang keperluan institusi masjid diberikan ‘nafas baru’ dalam kadar yang segera.

Hakikatnya, sebuah masjid kecil di AU3 telah pun membuktikan tidak sukar sebenarnya mendapat kerjasama universiti tempatan dalam menyediakan program sijil atau diploma dalam Pengajian Islam. Mengapa idea dan kemahuan ini tidak disambut oleh pihak-pihak lain? Atau kita sememangnya gemar membiarkan masjid kita lesu – kecuali apabila tiba hari Jumaat ataupun Hari Raya.

Bukankah mampu kita menampilkan budaya keilmuan yang hebat, sekiranya ada waktu anak-anak kita pula mampu melihat ibu bapa mereka menaiki pentas untuk menerima sijil Pengajian Islam, Sains Politik, Psikologi mahupun Bahasa Arab dengan kerjasama universiti tempatan di masjid. Penulis merasakan, inilah segmen yang terlalu kurang kita berikan perhatian saat kita berbicara tentang mewujudkan sebuah tamadun Islam yang unggul.

Jauh sekali untuk melihat masjid yang ‘mesra belia dan generasi muda’. Sekadar teringat tentang konflik pimpinan masjid ‘lama’ dan ‘baru’ dalam novel besar berjudul Imam. Di mana salah dan silap, sekiranya masjid menyediakan ruang untuk generasi muda bersukan, seperti gelanggang sepak takraw ataupun street soccer dalam kawasan masjid – asalkan disiplin dan adab dipelihara dengan baik.

Apa sumbangan masjid dalam menentukan generasi muda menjauhi gejala negatif, seperti dadah, sekiranya ingatan itu hanyalah hadir beberapa kali setahun dari atas mimbar. Apa program yang mampu dilaksanakan secara bersama dengan masjid untuk membolehkan generasi muda mendekati masjid secara yang lebih kerap.

Kita tidak boleh lagi melaksanakan program yang bersifat bermusim dan tidak mempunyai kesinambungan. Untuk itu berlaku, program yang bersifat jangka panjang dan sentiasa mendekatkan generasi muda kepada masjid mestilah dirangka. Masjid kelas A sewajarnya mempunyai program yang bersifat sedemikian rupa.

Mungkin penulis terlalu idealistik, tapi kita tidak boleh menunggu lama untuk melihat ‘model’ masjid yang lengkap sedemikian dilaksanakan segera. Masjid yang sedemikian sifatnya, pasti mampu sedikit sebanyak mendekatkan masyarakat dengan pelbagai modul pembangunan insan yang lebih berkesan. Wujudnya pusat asuhan kanak-kanak, sehinggalah pusat interaksi warga emas di kawasan masjid pasti memperlihat keberkesanan pelbagai program yang dijayakan oleh kerajaan.

Jangan dibiarkan pembangunan masjid yang ‘hebat’ luarannya tidak diisi dengan pelbagai program yang mampu menarik masyarakat.

Penambakan Pulau Tekong punca banjir

JOHOR BAHRU: Penambakan Pulau Tekong berhadapan muara Sungai Johor oleh Singapura sejak lebih tiga tahun lalu, dipercayai antara punca daerah Kota Tinggi terutama pusat bandarnya ditenggelami air lebih tiga meter dalam banjir besar 12 Januari lalu.

Peluasan pulau milik republik itu dikatakan menyebabkan muara Sungai Johor menjadi sempit dan menyukarkan air mengalir ke laut serta mengganggu pasang surut air laut. Laluan air yang tidak lancar menyebabkan Sungai Johor yang melalui pusat bandar Kota Tinggi melimpah dan menenggelamkan bandar itu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mengesahkan aliran Sungai Johor yang tidak lancar dan pertembungan arus Selat Johor dengan sungai berkenaan kerana fenomena air pasang besar menyumbang kepada banjir besar itu.

“Pada hari pertama banjir kedua, hujan begitu banyak dan apa yang saya lihat dari tinjauan udara adalah arus Sungai Johor mengalir tidak begitu lancar ke Selat Johor terutama sekali di kawasan muara... mungkin disebabkan penambakan itu,” katanya.

Abdul Ghani berkata demikian pada majlis penyerahan cek bantuan bencana banjir disumbangkan Yayasan Albukhary dan Bank Rakyat Malaysia kepada kerajaan Johor di sini semalam.

Yayasan Albukhary menyumbang RM5 juta kepada Tabung Bencana Banjir negeri, manakala Bank Rakyat menderma RM150,000.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof; Naib Pengerusi Eksekutif Yayasan Albukhary, Datuk Ismail Yusof; Pengerusi Pelabuhan Tanjung Pelepas, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman dan Ketua Wilayah Selatan Bank Rakyat, Mohamad Nasip Saiat.

Abdul Ghani berkata, kajian terperinci perlu dilakukan untuk memastikan kesan sebenar kerja penambakan itu terhadap negeri berkenaan.

“Saya tidak mahu dituduh menuding jari kepada pihak lain atas apa yang berlaku di Kota Tinggi dalam banjir kedua lalu, tetapi kita sedang mengumpul semua bukti saintifik termasuk kemungkinan melantik pakar bagi mengkaji kesan penambakan berkenaan terhadap aliran air Sungai Johor, terutama sekali di muara sungai,” katanya.

Kajian yang dibentangkan Pakar Teknikal Jabatan Geografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini mendedahkan projek penambakan laut oleh Singapura memberi kesan buruk terhadap alam sekitar, ekologi pantai dan muara Sungai Johor dan Selat Johor.

Prof Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah yang membentangkan maklumat tiga kajian teknikal di Tribunal Antarabangsa Mengenai Undang-Undang Laut (ITLOS) di Hamburg, Jerman pada 2003, berkata kerja penambakan itu akan memberi kesan buruk terhadap keadaan hidrodinamik pantai dan sifat gelombang.

Kesan itu meliputi aliran keladak, hakisan, kadar mendapan, hidroekologi, pendudukan, perikanan, aliran air pasang surut, mutu air, kepekatan garam, pelayaran, tempat berlabuh dan kekukuhan jeti.

Penambakan kawasan laut sekitar Pulau Tekong menggandakan saiz pulau itu dan mengurangkan jarak dengan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Tanjung Pengelih kepada kira-kira 0.75 kilometer (km) berbanding 1.8 km sebelum ini.

Kerja pembesaran Pulau Tekong meningkatkan permukaan pulau itu sebanyak 184 peratus atau 35 kilometer persegi serta mengurangkan lebar terusan utama perkapalan dari 4.12 km kepada 2.74 km.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai cadangan memindahkan bandar Kota Tinggi seperti disyorkan seorang pakar seperti dilaporkan akhbar ini semalam.

Katanya, walaupun cadangan itu ada kebenarannya, masih ada langkah lain yang boleh diambil termasuk mendalamkan Sungai Johor selain meninggikan tebing sungai yang bersebelahan bandar Kota Tinggi.

“Itu antara cadangan yang kita kemukakan kepada Kerajaan Pusat dalam mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri semalam (kelmarin), dan ia sedang dikaji,” katanya.

Tuesday, January 30, 2007

Kapal terbang plastik

KETIKA Perang Dunia Kedua, London telah dibom dengan teruknya oleh roket-roket Jerman. Disebabkan Jerman telah menakluki Perancis dan Belgium, maka Britain terpaksa mencari jalan untuk membina pesawat perang yang boleh terbang pergi dan balik dari Britain hingga ke Jerman tanpa perlu mengisi minyak.

Akhirnya jurutera mereka telah mereka cipta pesawat perang daripada kayu kerana keperluan waktu perang tidak mensyaratkan pesawat tersebut digunakan dalam tempoh yang lama. Dengan menggunakan badan daripada kayu, pesawat Spitfire telah dapat mengurangkan beratnya sehingga 2000 pound (907 kg) jika dibandingkan versinya yang dibina daripada besi dan aluminium. Lebih ringan pesawat tersebut, lebih jimat bahan api yang digunakan. Dan akhirnya pesawat ini dapat dibina dengan pantas dan ia telah digunakan untuk membawa bom dari Britain dan digugurkan di bandar-bandar di Jerman. Banyak bandar musnah dan akhirnya Jerman terpaksa mengaku kalah.

Dalam merekabentuk sesebuah pesawat, satu prinsip yang perlu dipegang adalah weight is enemy (berat adalah musuh). Kapal terbang yang berat akan menyebabkan pesawat tersebut tidak boleh terbang jauh kerana bahan api yang tidak mencukupi.

Satu contoh yang jelas adalah, pengurusan Air Asia X telah memaklumkan kepada bakal penumpangnya bahawa pesawatnya akan singgah di negara Teluk bagi mengisi minyak kerana kapasiti tangki pesawat yang mereka gunakan tidak mencukupi untuk menampung penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke London/Manchester.

Airbus A380 juga menghadapi masalah yang sama. Di samping masalah wayar elektrik, pesawat tersebut menghadapi masalah yang lebih besar iaitu kelebihan berat sebanyak 4 tan metrik apabila semua komponen dipasang untuk tujuan penerbangan komersial.

Untuk mengatasi masalah berat dalam pembinaan pesawat, para penyelidik Barat telah merekabentuk satu bahan baru yang dipanggil komposit. Komposit ini dihasilkan melalui gabungan lebih daripada satu jenis bahan sama ada daripada unsur logam atau bukan logam. Namun yang popular digunakan dalam pembinaan pesawat adalah daripada unsur bukan logam seperti unsur plastik atau polimer.

Susun atur bahan ini ketika proses pembuatan menjadikan ia boleh memberi kekuatan melebihi kekuatan unsur logam. Di samping kelebihan dari segi ringan, struktur yang diperbuat daripada komposit ini juga mampu menyekat berlakunya rekahan yang lazimnya berlaku dengan pantas dalam unsur logam. Ia juga lebih murah kerana penghasilannya hanya berlaku di kilang dengan tindak balas kimia.

Bahan komposit ini sudah lama digunakan dalam pembinaan pesawat ringan. Airbus telah memulakan satu langkah terkehadapan dengan menggunakan 25 peratus pesawat Airbus A380 daripada unsur komposit. Mereka telah menemui satu bahan baru yang dipanggil Glare yang lebih kukuh dari aloi aluminium yang selalu digunakan dalam pembinaan pesawat.

Pesawat Boeing yang baru yang dipanggil Boeing 787 Dreamliner yang dalam proses pembinaan, akan menggunakan 80 peratus bahan komposit. Hanya komponen tertentu seperti enjin sahaja yang menggunakan bahan logam dan selebihnya bahan plastik. Pesawat ini yang boleh memuatkan penumpang antara 223 hingga 330 yang akan menggantikan Boeing 777 dijangka mula beroperasi pada Mei 2008. Ia dijangka dapat menjimatkan penggunaan bahan api sehingga 20 peratus jika dibanding dengan pesawat lain yang hampir sama dengannya. Sehingga kini Boeing telah menerima lebih kurang 450 tempahan bagi pesawat ini.

Untuk berdepan dengan saingan ini, Airbus telah melancarkan pesawat terbarunya di Farmborough Air Show baru-baru ini yang diberi nama Airbus A350 XWB (Extra Wide Body). Pesawat yang boleh membawa penumpang antara 270 hingga 350 ini akan mula beroperasi pada tahun 2013. Pesawat ini dibina daripada 72% unsur komposit. Sejak dilancarkan Airbus telah menerima lebih kurang 100 tempahan bagi pesawat ini.

Selain dari badan pesawat, banyak lagi unsur plastik diperkenalkan seperti kerusi, cermin tingkap, peralatan elektronik, panel dalam kabin, karpet dan sebagainya. Menjadikan pesawat itu ringan adalah matlamat utama dalam reka bentuk pesawat baru kerana ia akan memberi keuntungan lebih besar kepada syarikat penerbangan yang menggunakannya.

Ketika makan malam bersama pakar-pakar enjin jet di Paris baru-baru ini, seorang profesor dari Cambridge University menyatakan kekesalan di atas sikap beberapa syarikat penerbangan yang masih tidak tahu menghargai usaha jurutera di seluruh dunia untuk menjimatkan bahan api pesawat. Sikap mereka yang masih lagi menggunakan botol minuman yang diperbuat daripada kaca telah menyebabkan usaha jurutera selama ini tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Saya dapati Penerbangan Malaysia (MAS) juga tidak terkecuali dalam masalah ini kerana mereka masih lagi menggunakan bekas makanan dan minuman yang diperbuat daripada kaca agar kelihatan lebih berprestij. Namun saya yakin, dengan menggantikan bekas kaca tersebut dengan bekas plastik akan dapat memberi penjimatan sekurang-kurangnya 1 peratus kepada penggunaan bahan api pesawat. Dalam laporan kewangan 2004/2005, MAS membelanjakan lebih RM3 bilion untuk bahan api. Oleh itu, anggaran nilai 1 peratus bagi syarikat besar seperti MAS sebenarnya adalah penjimatan sehingga berpuluh-puluh juta dalam kos operasinya selama setahun.

* DR. MOHD. ROSHDI HASSAN ialah kakitangan Universiti Putra Malaysia yang sedang berkhidmat di Rolls Royce UTC, University of Sheffield, United Kingdom.

Penjajahan akal di kalangan kita masih tebal

SELEPAS 50 tahun merdeka, penjajahan akal kita masih menebal. Kalau anda tidak percaya, dengar, lihat, baca dan perhatikan sesetengah perkara di negara kita.

Misalnya, ibu negeri Pulau Pinang masih Georgetown – sempena nama Raja George III Britain (1738-1820; menjadi raja 1760- 1820).

Apa salahnya kalau nama ibu negeri itu ditukar kepada nama asalnya, bandar raya Tanjung? Ia tentu boleh dilakukan, kerana Penang Hill telah ditukar namanya kepada Bukit Bendera.

Ramai orang beranggapan bahawa Pulau Pinang dibuka oleh Francis Light pada tahun 1776. Mereka ini buta sejarah. Atau mereka suka mendewa-dewakan orang Inggeris.

Dalil yang ada menunjukkan Pulau Pinang telah diteroka sekurang-kurangnya 42 tahun lebih awal (1734) oleh orang Aceh.

Laksamana Intan Nam Tunku Patis Batang telah membina masjid tertua di Pulau Pinang pada tahun 1145 Hijrah (1734 Masihi) di Batu Uban. Nama laksamana itu ialah Haji Mohammad Salleh. Sayang namanya tidak dikenang.

Sekarang sebuah bandar baru sedang dibina di satu tempat di tepi laut di Pulau Pinang. Tempat itu dinamakan Queens Bay. Nampaknya orang Pulau Pinang masih setia kepada Queen Elizabeth.

Apa salahnya kalau teluk itu dinamakan Teluk Tun Teja, misalnya?

Di Negeri Sembilan ada Port Dickson. Siapakah Dickson? Tak bolehkah kita tukar namanya kepada Pelabuhan Tuah, sempena nama Laksamana Tun Tuah?

Di Pahang ada Bukit Fraser? Siapakah Fraser? Cuba anda selidik. Tak bolehkah nama bukit itu ditukarkan kepada Bukit Kilau, misalnya, sempena nama pejuang Mat Kilau?

Di Selangor ada Taman Templer. Ya, kita tahu Jeneral Templer ada peranan dalam perjuangan menentang pengganas komunis, tetapi yang ramai mati siapa? Askar Melayu.

Cuba tanya bekas perajurit zaman itu yang masih hidup tentang cadangan ini. Setujukah mereka kalau Taman Templer kita tukar namanya kepada Taman Perajurit?

Banyak lagi perkara berkaitan hal penjajahan akal ini.

Tetapi, seperti yang kita sedia maklum, penjajahan akal berlaku kerana sesuatu bangsa itu suka dan bangga dijajah.

– T. S. LANANG,

Minden, Pulau Pinang.

Monday, January 29, 2007

Waspada ‘jenayah kedoktoran’ di bidang perubatan, akademik

PENDEDAHAN tentang kewujudan doktor-doktor palsu hanya memberikan limitasi kuasa untuk Kementerian Kesihatan bertindak kepada pemegang gelaran doktor perubatan palsu di bawah peruntukan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh didenda sehingga RM300,000 atau penjara enam tahun dan kedua-duanya.

Pemegang gelaran doktor atau profesor palsu dalam perubatan alternatif, Doktor Falsafah (PhD) dan Doktor Kehormat (Honoris Causa) ternyata masih bebas melakukan ‘jenayah kedoktoran’ mereka.

Masyarakat Malaysia ternyata mudah disogok dan gagal membezakan kelayakan setiap jenis ijazah kedoktoran.

Di Belanda dan di Indonesia, doktor perubatan dan doktor falsafah untuk PhD dibezakan dengan gelaran ‘dokter’ (dieja Dr.) dan ‘doktor’ (dieja DR.).

Yang lebih pelik, ramai di antara kita yang tidak tahu gelaran ‘master’ adalah anak tangga sebelum sampai ke peringkat PhD. Lebih melucukan ada juga yang tidak tahu bahawa PhD itulah yang diperlukan untuk mendapat gelaran ‘Dr.’

Gelaran doktor kehormat pula dianugerahkan bagi mengiktiraf sumbangan profesionalisme dalam bidang masing-masing yang telah dapat dibuktikan melalui piawaian dan standard kualiti yang tinggi.

Dalam catatan sejarah Indonesia semasa pemerintahan Gus Dur berlaku kontroversi skandal ‘kedoktoran’ menterinya melibatkan Menko Kesra dan Taskin Hamzah Haz.

Bak kata pepatah: “Harapkan pagar, pagar makan padi”, Kemudiannya Menteri Pendidikan, Yahya Muhaimin pula dipertikaikan kedoktorannya kerana menciplak karya orang lain (plagiat).

Tetapi cuba bandingkan dengan bekas Perdana Menteri Britain, John Major. sungguhpun beliau tidak pernah menjejakkan kakinya ke universiti, tetapi beliau tidak pernah berdusta tentang latar belakang akademiknya.

Disebabkan beliau mempunyai bakat kepimpinan dan integriti moral yang tinggi, rakyat Britain tetap memilih beliau menjadi Perdana Menteri.

Larisnya gelaran kesarjanaan bukan petunjuk masyarakat telah mencapai obsesi terhadap ilmu pengetahuan dalam kemuncak tamadun dan peradaban bangsa menjelang tahun 2020.

Mereka yang membayar harga satu gelaran kedoktoran adalah orang yang tahu tentang nilai ekonomi sebuah komoditi dalam pasaran masyarakat industri. Pemegang gelaran Prof. dan Dr. palsu ini melihat gelaran sebagai satu lambang status sosial.

Justeru yang dikejar bukan gelaran atau kehormatan itu sendiri tetapi lebih kepada keuntungan ekonomi dan populariti. Dari sudut lain, ijazah kedoktoran palsu tidak ubah seperti wang palsu, kad kredit palsu atau cek kosong.

Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila kebanyakan nama universiti yang memberikan gelaran tersebut yang dieja dalam bahasa Inggeris itu tidak wujud apabila di-google-kan atau di yahoo-kan dalam carian Internet.

Bahkan apabila berselindung di sebalik universiti maya dan pendidikan jarak jauh, universiti tanpa kampus ini menggunakan alamat post box.

Di Malaysia, belum ada undang-undang yang boleh mengheret pengguna nama samaran Prof. Ir, Dr., Sir, PhD tanpa kelayakan yang sah atau mereka yang memberikan gambaran palsu tentang kelayakan akademik mereka.

Gelaran kedoktoran sewajarnya diberikan tempat tertinggi seperti gelaran anugerah diraja bahkan dilindungi daripada penipuan dan penyalahgunaan.

Fenomena jenayah akademik dengan menggunakan gelaran kedoktoran palsu lebih ketara dalam bidang perubatan alternatif, produk kecantikan dan kesihatan berasaskan kaedah spiritual dan holistik,

Multi Level Marketing (MLM), bidang pemasaran dan jualan kewangan, pelaburan, kekayaan dan kejutawanan malah bidang kaunselor, motivasi dan runding cara juga turut menyaksikan penglibatan aktif pakar-pakar kedoktoran palsu.

Kebanyakan penemuan dan hasil idea dari kajian dan penyelidikan pula tidak mengikut disiplin ilmu yang tulen, diformulasi oleh mereka yang mendakwa ‘pakar’ yang sebenarnya tiada latar belakang dan asas akademik yang konsensus, hanya berbekalkan sokongan pengiktirafan daripada institusi dan pertubuhan yang diragui modus operandi dan kewujudannya di alam maya.

Tanpa merit mereka menggunakan kredit kedoktoran untuk memasarkan kepercayaan karut yang belum terbukti kesahihannya.

Dalam bidang pemasaran pula, ada yang menggunakan gelaran doktor dengan tujuan melobi diri mereka sebagai pakar kewangan, pakar ekonomi, pakar Internet, pakar MLM dan pakar kejutawanan sedangkan mereka ‘makan gaji’dengan bahan sokongan dan yuran kursus yang dikenakan kepada peserta yang teruja dengan kedoktoran palsu mereka.

Lebih parah lagi terdapat beberapa pakar yang menggunakan ‘kedoktoran segera’ mereka untuk memberikan perkhidmatan motivasi, kaunseling dan runding cara. Ini sangat berbahaya kerana isu kandungannya tidak berdasarkan ilmu pengetahuan yang sohih dan kaedah yang belum terbukti kehandalannya.

Jika doktor perubatan palsu mengancam nyawa pesakit secara lahiriah maka doktor falsafah dan doktor kehormat palsu ini lebih daripada itu kerana akan meracun fikiran modal insan.

Dengan fakta tersebut, jangan terkejut bahawa laporan MVD International Sdn. Bhd. (MVD International), sebuah syarikat yang menjalankan perkhidmatan penyiasatan dan risikan mengenai gejala pemalsuan sijil akademik dan kokurikulum institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) tempatan serta luar negara mendapati daripada 20,000 kes pemalsuan dokumen dan kelayakan diri yang disiasat di seluruh negara sejak tahun 2000, kira-kira 10 peratus membabitkan kes pemalsuan sijil akademik.

Fungsi Lembaga Akreditasi Negara (LAN) yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996, kini wajar dikaji semula untuk memperkasakan LAN melalui penguatkuasaan terhadap ‘jenayah kedoktoran’.

Bidang kuasa LAN harus diperluaskan bukan hanya dipertanggungjawabkan untuk menjalankan penilaian jaminan kualiti dan pengakreditan ke atas IPTS tempatan dan kursus-kursus pengajian institusi pengajian tinggi luar negara yang dijalankan secara kerjasama dengan IPTS tempatan yang berdaftar di bawah Akta IPTS 1996 (Akta 555) sahaja.

Malah ia mampu mengakreditasikan pengiktirafan anugerah dan gelaran ijazah kedoktoran warganegara Malaysia yang sekarang banyak berkeliaran dalam pasaran pelbagai produk.

Kini negara maju sebagai pengeksport pendidikan telah membentuk satu pakatan besar dalam mengadakan kerangka kelayakan dan agensi jaminan kualiti masing-masing.

Mereka saling mengiktiraf kelayakan itu melalui ‘Lisbon Recognition Convention’. Sudah tentu LAN mampu menjalinkan perkongsian bijak dalam usahanya mengantarabangsakan pendidikan tinggi dan gelaran akademik profesional di Malaysia.

– FAIZAL RIDUAN,

Pengamal Sumber Manusia,

UiTM.

Tuesday, January 23, 2007

KISAH TALI GANTUNG

Tali gantung yang diimport ini diperbuat dari jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung.

Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000.

Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekalnya akan diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam.

Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia diklasifikasikan sebagai senjata dan disimpan di dalam peti besi.

"Setiap tali gantung kita terima ada perkiraannya.Kita tak boleh poie terus dan pasang, ada cara-cara yang kita kena ikut. Kita ada empat jenis tali dan kita pilih mengikut berat banduan," jelas Samuel.

Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkok banduan.

APABILA RAYUAN DITOLAK

Di Penjara Kajang umpamanya banduan yang dijatuhi hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan.

Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman di mana di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

"Kita diberi satu jam untuk laksanakan hukuman. Untuk banduan beragama Islam biasanya kita akan jalankan hukuman gantung ini pada hari Jumaat, selepas solat subuh. Bagi yang bukan Islam, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza," kata Samuel.

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.

"Biasanya banduan akhir ini akan tahu apabila dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat, dia tahu keesokan harinya sesuatu yang buruk akan berlaku (dia akan digantung)," kata Samuel.

Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini,kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk "perjumpaan terakhir."

Lazimnya suasana sedih dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini.

Banduan juga diberi pilihan untuk "hidangan terakhir" bernilai RM7.50.

HARI PENGGANTUNGAN

Menurut Samuel, kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung "poie dengan rela" setelah menunggu begitu lamo untuk hukuman dilaksanakan.

"Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir.

" Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi menunggu," katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir.

"Jangan ikut tabiat buruk ayah" antara kata-kata terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.

Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman.

" Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T dan seluar sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM300. Mati penuh gaya . Banduan itu kata dengan jenaka," cerita Samuel.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.

BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG

Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila "gear" ditarik.

Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter.

Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara.

Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik "gear" yang akan antaranya membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.

Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar tergantung.

"Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tak ada masalah.

"Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh bos-bos saya dulu," kata Samuel.

Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah.

"Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal,lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas," katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.

-- BERNAMA

Sunday, January 21, 2007

The 'Burkini'

Kind of takes the fun out of the beach.

Friday, January 19, 2007

Punca Johor Banjir Besar

Banjir yang melanda Johor kini sebenarnya telah diramal oleh seorang cendikiawan Melayu dari Universiti Teknologi Malaysia hampir empat tahun dulu!










Sebab hamba Allah tersebut berani membuat ramalan ialah kerana kelebaran Selat Johor telah terjejas di kawasan berhadapan Pulau Ubin dan Pulau Tekong ekoran kerja-kerja menambak laut yang Singapore lakukan untuk membesarkan pulau-pulau tersebut.








Tujuan sebenar Singapore berbuat demikian ialah untuk mensabotaj Malaysia dengan cara menghalang kemasukan kapal-kapal besar ke Pelabuhan Pasir Gudang. Bila pulau-pulau tersebut menjadi besar, laluan Selat Johor menjadi sempit. Dah boleh nampak sebab dan kesan? Mudah kan?

Thursday, January 18, 2007

Putik kapas memampatkan tahi telinga, bukan membersihkannya

SEIRING dengan perkembangan kemajuan negara, masyarakat Malaysia juga semakin mengambil berat dalam soal penjagaan kesihatan dan kebersihan diri.

Limpahan produk di pasaran boleh dikatakan lebih daripada mencukupi. Apa yang menarik perhatian untuk saya kongsi di sini ialah berhubung penggunaan putik kapas (cotton bud) sebagai alat untuk membersihkan telinga.

Berdasarkan pengalaman mengendalikan klinik telinga, hidung dan tekak, masalah pesakit yang datang dengan kurang deria dengar boleh dikatakan ada setiap hari.

Mereka terdiri daripada yang berusia seawal baru lahir sehingga warga emas, punca yang pelbagai juga dikesan menjadi sebab berlakunya masalah ini.

Salah satu punca yang boleh diatasi dan didapati kerap berlaku di kalangan pesakit kurang dengar ialah masalah saluran telinga luar yang tersumbat dengan ‘tahi telinga’ atau lebih tepat lagi lilin telinga (ear wax) yang telah mampat.

Melalui soal selidik yang dijalankan, majoriti jika tidak kesemua daripada mereka mengakui menggunakan putik kapas secara rutin dan berterusan.

Mereka atau kita juga mungkin beranggapan putik kapas yang digunakan akan dapat membersihkan saluran telinga daripada lilin telinga yang terhasil secara fisiologi.

Di sinilah timbulnya kesilapan. Putik kapas yang digunakan sebenarnya menolak lilin telinga masuk lebih ke dalam dan hanya sedikit yang melekat padanya dan dikeluarkan.

Sedangkan, saluran telinga kita telah dicipta lengkap dengan mekanisme rerambut halus yang berfungsi dalam gerakan ke arah keluar telinga bagi mengeluarkan lilin yang berlebihan.

Penggunaan putik kapas dalam gerakan ke dalam yang melawan arus fisiologi akan menyebabkan kegagalan fungsi normal ini dan seterusnya menyebabkan sedikit demi sedikit lilin telinga akan tertolak semakin ke dalam, termampat ke arah gegendang telinga dan seterusnya mengganggu konduksi bunyi dari punca rangsangan. Keadaan ini disebut gangguan pendengaran jenis konduktif (conductive hearing loss).

Satu lagi masalah yang timbul daripada penggunaan putik kapas ialah ada kemungkinan bahagian kapasnya tertanggal dan tertinggal di dalam saluran telinga. Ini juga akan mengganggu pendengaran. Jika terbiar lama akan mengundang jangkitan kuman pula.

Selaras dengan slogan ‘mencegah lebih baik daripada merawat’, marilah sama-sama kita menjaga kebersihan dan kesihatan diri dengan mendalami ilmu yang sahih daripada autoriti yang tepat.

Kita telah dicipta dengan sebaik-baik keadaan dan sifat, justeru menjadi tanggungjawab kitalah untuk menjaganya dengan selamat.

– DR. IRFAN MOHAMAD,

Jabatan ORL-HNS (ENT),

Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Talk show of Rosyam Nor

Disampaikan oleh seorang hamba Allah.

Minggu lepas, aku ade menonton rancangan tu..kebetulan takde rancangan yg best, bila bukak je channel tv1, aku ternampak ustaz zawawi (bekas pensyarah aku) jadi ahli panel...termasuk fauziah nawi & nazrey raihan...terus aku terlekat...tajuknya Hiburan...Jalan ke....? spt biasa,di hoskan oleh rosyam nor

Memang bagus diskusi tu..ustaz zawawi citer, hiburan sememangnya halal
malah akan menjadi wajib kpd sesorg jika dia tidak boleh hidup tanpa
hiburan...contohnya , si mamat ni mesti dengar lagu untuk menceriakan hidup dia, kalau tak dengar lagu, dia tak bleh nak survive...tambahan pulak,memang dah naluri manusia, perlukan hiburan. Jadi Islam tak melarang untuk kita berhibur

Tapi, hiburan tu mestilah tidak bertentangan dgn syariah..contohnya, tiada pergaulan bebas..tidak melalaikan.. Soalan rosyam nor kpd fauziah nawawi nyata menjerat mereka berdua...rosyam tanye, bagaimana pulak kalau rosyam jadi anak, fauziah jadi ibu..sudah tentu ade pelukan @ bersentuhan, semata-mata nak hidupkan lakonan tu.. fauziah pulak jawab, memang nak tak nak..kenalah ade sentuhan sbg seorg ibu & anak...beliau hanya melakonkan shj tapi niat beliau baik... nak tunjukkan kpd umum tentang pentingnya kasih sayang seorg ibu kpd anaknya...

Then, ustaz zawawi balas balik...niat tidak menghalalkan cara...walau
sebaik mane niat kita itu, tapi caranya bertentangan dgn syariah, maka akan jadi haram ler...walaupun sekadar lakonan..tapi kedua-dua pelakon tersebut bukanlah muhram, yakni halal berkahwin... maka mereka sememangnya tidak boleh sedemikian.

Byk cara lagi yg boleh dilakonkan untuk menunjukkan kasih sayang antara ibu & anak...di Iran, filem mengisahkan kasih sayang keluarga tidak menunjukkan sebarang sentuhan antara pelakon berlainan jantina, tapi mampu menjadi filem yg berjaya & merangkul anugerah.

kedua, ustaz zawawi cakap, berlakon @ menyanyi diwajibkan menutup
aurat...jika mendedahkan aurat, maka akan jadi haram lah hiburan tu...

ketiga, rezeki yg diperolehi hasil hiburan yang tidak mengikut syariah
adalah haram...maka melentinglah sekajap si fauziah nawi tu...dia kata,
hasil rezekinya selama ini telah disalurkan untuk menyara keluarga dia,
tanggung kos belajar adik dia di oversea, buat kebajikan dsb....Ustaz
zawawi balas, yg dipersoalkan adalah sumber rezeki tu melalui cara ape,
bukannya dia belanjakan kearah mane...jika rezeki itu hasil lakonan yg ade sentuhan laki & pompuan yg bukan muhram, buka aurat dsbnya...maka akan jadi haram ler... kemudian, fauziah nawi melenting lagi, ini bermakna dia dah tak boleh berlakon lagi lah...sebab dah jadi haram..mcm mane dia nak sara keluarga dia sedangkan punca pendapatan dia adalah hasil daripada hiburan...lagipun dia hanya menggunakan bakat yg dikurniakan oleh Allah utk berlakon...bukan semua org ade bakat utk berlakon...

maka jawab ustaz zawawi...beliau masih boleh berlakon...spt mane ustaz
zawawi sebut sbl ni, ade hiburan yg halal..maka carilah hiburan yg halal tu...

Sebut ustaz zawawi lagi...kita perlukan perubahan minda dikalangan semua penggiat seni...baik dari pihak penerbit, penulis lirik, penulis skrip,pelakon, penyanyi, penganjur dsb...mestilah mencari jalan bagaimana untuk menghasilkan hiburan yang halal & diberkati oleh-Nya...memang ade caranya...kenalah berusaha..

Itulah serba sedikit rumusan drp forum tersebut...ape2 hal pun, aku ucapkan tahniah buat ustaz zawawi & nazrey raihan kerana mempertahankan haram tetap haram...halal tetap halal...

Maka ape lagi wahai artis-artis malaysia? Sudah terang lagi bersuluh... carilah hiburan yg halal...tinggallah hiburan yg haram...kerana
rezeki yg diperoleh itu sudah pasti akan disoal tentang halal haramnya...

Bukan ke malaysia skrg ni diisytihar negara islam hadhari? jadi carilah
jalan bagaimana nak jadi artis islam hadhari...bukannya had-hari...hanya islam masa bulan puase shj...bulan yg lain..????

Bukan senang nak jadi Doktor

Sekumpulan pelajar perubatan berkumpul untuk melihat seorang pensyarah
melakukan pemeriksaan ke atas satu mayat..mereka berkumpul mengelilingi
tempat mayat itu diletakkan..

"Dalam bidang perubatan, ada 2 kualiti yang sgt penting untuk menjadi
seorang doktor", kata pensyarah itu. "Pertama.., kamu semua tidak boleh
jijik melihat mayat", katanya...sebagai contoh, pensyarah itu mencucuk satu jarinya ke dalam mulut mayat, menariknya semula dan menjilat jarinya itu

"Sekarang, cuba kamu buat", kata pensyarah itu.

Selepas beberapa ketika, barulah mereka mengikut apa yang mereka lihat.
Seorang demi seorang memasukkan jari ke mulut mayat dan menjilatnya.
Apabila semua pelajar selesai, pensyarah itu memandang ke arah mereka dan berkata....

"Kualiti kedua yang sangat penting adalah pemerhatian yang tajam. Seperti tadi....saya memasukkan jari hantu tetapi menjilat jari telunjuk.... .

Wednesday, January 17, 2007

9 jenis anak setan

Umar al-Khattab r. a berkata, terdapat 9 jenis anak syaitan:

1. Zalituun
Duduk di pasar/kedai supaya manusia hilang sifat jimat cermat. Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu.

2. Wathiin
Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah.

3. A'awan
Menghasut sultan/raja/ pemerintah supaya tidak mendekati rakyat.Seronok dengan kedudukan/kekayaan hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

4. Haffaf
Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang yang berada ditempat-tempat maksiat (cth: disko, kelab mlm & tempat yg ada minuman keras).

5. Murrah
Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yg sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah. Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamour etc.

6. Masuud
Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yg mula dari kata-kata mulut.

7. Daasim (BERILAH SALAM SEBELUM MASUK KE RUMAH...)
Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah,Daasim akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumahtangga (suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan pelbagai bentuk kemusnahan rumah tangga lagi).

8. Walahaan
Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwuduk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat kita yg lain.

9. Lakhuus
Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api/matahari.

Sunday, January 14, 2007

Gempar singa cium wanita

BOGOTA: Jika anjing dan kucing suka bermanja dengan tuannya adalah perkara biasa tetapi apabila yang berkelakuan demikian adalah seekor singa, ia menjadi berita gempar.

Itulah yang dirasakan penduduk di Cali, Colombia, melihat pertalian rapat antara seekor singa Afrika dan wanita yang menyelamatkannya dari didera, membabitkan ciuman lama dan pelukan mesra kedua-dua makhluk berlainan spesies itu.

Ana Julia Torres, yang mengendalikan pusat perlindungan haiwan di Villa Lorena di Cali, memberi makan dan merawat singa Afrika bernama Jupiter untuk sihat semula beberapa tahun lalu selepas ia didera dan dibiarkan kurus kering ketika menyertai pertunjukan sarkas.

“Memang menakjubkan melihat haiwan seperti ini menjadi begitu mesra dan penyayang. Pelukan itu adalah yang paling ikhlas pernah saya terima dalam hidup,” katanya.

Torres, 47, berkata usahanya menyembuhkan haiwan bermula lebih sedekad lalu apabila seorang rakan memberikan dia seekor burung hantu untuk dijadikan binatang peliharaan.

Tidak lama kemudian, apabila dia meminta penuntutnya membawa haiwan peliharaan mereka ke sekolah, dia menyedari banyak keluarga membela haiwan liar dari hutan secara haram di rumah mereka.

Bilangan haiwan dalam pemerhatiannya makin bertambah, dan Jupiter adalah antara 800 haiwan yang makin sihat di Villa Lorena, tempat Torres membela antaranya merak terbakar, bangau tidak berkaki, monyet buta dan gajah kudung.

Kebanyakan haiwan itu diletakkan di dalam sangkar walaupun sebahagiannya seperti iguana dibiarkan berkeliaran bebas di atas tanah di pusat perlindungan yang di kelilingi tembok setinggi 3.9 meter. – Agensi

Otak Kanan : Teknik Jepun Shichida Methods

Beberapa minggu lepas boss aku ada cakap kat aku yg dia antaq anak die 2 thn pergi Sichida kelas...yakni kelas yg di uruskan oleh jepun melatih anak-anak befikir menggunakan otak sebelah kanan. Otak sebelah kanan nilebih efektif sebenarmya dari otak sebelah kiri tetapi kena practise sikitlah penggunaannya. Kelas ni mahal, kalau kelas tadika juanna yg aku nak masukkan tahun depan tu cost nye lebih tinggi dari cost kite satu semester kat ITM, tapi boss aku ni atas kesedaran bahawa ramai sgt cine yang pergi kelas tu utk ajar anak2 depa dan melayu cuma setengah kerat aje...dia pun bersetuju ngan niat ikhlasnye untuk ajar aku dan staff melayu yg lain.

Aku pun nak korang practisekan bende ni kat anak korang, sebab baru
seminggu aku buat kat anak aku...dah nampak keberkesanannya.

1. Sewaktu anak nak tidur atau tidur-tidur ayam, cakap kat die sepenuh hati dan sejujurnya yang kita sayang kat dia, dia budak baik, dia anak soleh, dia budak kuat, tak sakit, dia budak pandai dsb. Sbb during tidur-tidur ayam ni otak kanan sedang bekerja, otak kiri dah tidur dah, tapi kena buat seikhlas hati...kalau tengah marah ..tak jadi. kalau anak korang tu dah tidur, ramas-ramas jari atau tangan dia, macam picitlah supaya dia kembali berada dalam tidur2 ayam punya situation. Aku buat kat anak aku sebab die bangun pagi lambat pas tu siap melalak-lalak lagi, aku cakap hari-hari kat dia, dia budak baik, dia suka pergi sekolah, dia budak sihat, dia nak bangun awal....sekarang 6.30 dah bukak mata termasuk sabtu n ahad.

2. Start guna cards untuk ajar anak. Aku ajar ABC-Z guna card seminggu je, sekarang dah kenal semua huruf dah siap boleh eja perkataan pendek-pendek. . buat card banyak-banyak dan tunjuk kat dia orang cepat-cepat. .macam..a. .b..c..d. .e, insya Allah cepatdie dapat sebab bila kita tunjuk kad laju-laju atau cepat-cepat otak kanan die bekerja keras untuk tangkap apa benda yang kite tunjuk tu...kita boleh buat card 1,2,3, gambar-gambar. ..potonglah gambar kat mana-mana dsb.

3. Gerak kerja tangan adalah hasil dari otak kanan, so ajar anak korang main tanah liat, main water colour, melukis, gunting kertas, origami dsb. memang le kite yang kene mengemas tapi takpe......... satu lagi cuba korang lukis gambar, contohnye rama2, tapi sebelah sahaja dan suruh die orang sambung lukis ikut apa yg korang lukis tu kat sebelah lagi...ini pun dapat mengaktifkan penggunaan otak kanan....Korang tau kenapa cine, ngan jepun pandai-pandai. ...sebab depa makan guna chopstik...chopstik tu mengaktifkan kerja tangan and as well gerakkan otak kanan.

4. Jgn marah-marah atau tengking anak........ sebab depa boleh simpan semuanya dalam otak kiri.......kalau termarah depa, pi balik kat cara no 1 tadi, and mintak maaf kat die.....

5. Satu lagi develop they all punya imagination by start bercerita kat die orang dan suruh depa sambung cerite tu, walaupun cerita tu memang lah merapu takpa....... ..kita pun bukan tak biasa merapu...... .

6. Main teka-teki ngan they all, taruk satu barang dalam kotak tissue and suruh depa teka apa benda tu. First few times boleh bagi option macam....bagi tau colour, bunyi, lama-lama depa boleh develop six sence by concentrating depa boleh teka apa benda dlm kotak tissue u........ni semua utk aktifkan otak sebelah kanan. Tapi ingat.....semua game yg hangpa nak buat ngan dia tu cuma boleh buat setengah jam sehari..tak payah lama-lama.

Sebelum buat exercise ni, kena tarik nafas dalam-dalam and relaks...tak boleh buat time tengah nak masak ka, basuh kain ka tengok tv ka, tak jadi....Buat kena ikhlas, and merendah diri sikitlah bila dah terror ini semua satu cara yng Tuhan lagi Maha Mengetahui kalau Dia izin anak kite nak pandai Alhamdulillah tapi kita kena berusaha, dan bersyukur kalau dah berhasil sebab bila2 Dia boleh tarik balik..betui tak......Aku pun tengah try lagi ni...

Lagi satu untuk berkongsi sesama pembaca....
~Kaunselor UTM, Dr, Syed Mohd. Shafek pun ada cakap benda yang sama dan dia ada ckp ttg perkataan jangan kat anak-anak. kalau kita banyak sangat guna perkataan jangan kat anak-anak... ..itu lah yang anak akan buat.....so lepas nie kena ganti perkataan jangan tu kepada perkataan lain plak...contohnya. ...Tolong senyap Abang,,,berbanding Jangan bising bang..
~Dlm Islam sendiripun menggalakkan kita ibubapa bercakap2/berdoa dgn anak2 ketika mrk dlm proses nak tidur sbb pada ketika itulah di antara waktu2 doa dimakbulkan.

..::*The wise never marry, if they do, they will become otherwise*:: ..

Largest Aquarium in the World

The AquaDom breaks all records as the largest cylinder aquarium in the world, at over 52 feet in depth by 36 feet in diameter. This engineering marvel is located in Berlin and took 150 tons of acrylic to complete.

http://www.youtube.com/watch?v=bdf28MVTvpg






Tuesday, January 09, 2007

Camouflage





Tuesday, January 02, 2007

Underwater Restaurant








Tidak mahu bersuami, tapi hendak anak

Oleh SAPORA SIPON

DILAPORKAN, kecenderungan golongan wanita profesional yang belum berkahwin tetapi lebih suka mengambil anak angkat dan memakan pil penggalak susu badan untuk bayi angkat mereka semakin meningkat.

Isu ini mungkin ada (mungkin tiada) kaitannya dengan persepsi wanita terhadap institusi perkahwinan yang dianggap menyusahkan mereka. Bagaimanapun, setiap mereka yang mengambil anak angkat mempunyai sebab-sebab tersendiri terutama sekali bagi wanita yang belum berkahwin. Apa yang paling penting ialah mereka tidak mensia-siakan tanggungjawab terhadap anak angkat itu.

Banyak sebab mengapa wanita lambat berkahwin. Ada yang mengaitkannya dengan soal jodoh, kerjaya, cita-cita, kewangan, keinginan, cita rasa, konflik kehidupan dan juga sejarah hidup.

Kajian yang dilakukan di sebuah universiti di Britain berkaitan dengan wanita dan perkahwinan wajar direnung oleh kaum lelaki dan perempuan. Kajian tersebut mendapati bahawa wanita yang lebih bijak kurang untuk mendapat jodoh. Kajian itu mendapati semakin tinggi tahap kecerdikan seorang wanita semakin kurang peluangnya untuk mendapat jodoh.

Bagi setiap kenaikan 16 mata tahap kecerdasan, peluang untuk mendapat jodoh akan turun sebanyak 40 peratus.

Keadaannya berbeza dengan lelaki. Setiap 16 mata naik, peluang untuk mendapat jodoh dan berkahwin naik sebanyak 35 peratus.

Andaian yang dibuat oleh kajian tersebut ialah lelaki hanya ingin berkahwin dengan wanita yang tidak sebijak mereka. Semakin bijak seorang wanita, semakin kurang lelaki ingin mendampinginya.

Andaian seterusnya ialah wanita yang bijak berkemungkinan tidak akan kahwin pada usia awal kerana mengejar kerjaya dan cita-cita.

Seterusnya, andaian kajian tersebut ialah wanita cerdik hanya akan memilih lelaki cerdik yang kebiasaannya kurang tampan. Dikaitkan ramai wanita membuat andaian bahawa ramai lelaki adalah kejam dan akan meninggalkan isteri mereka untuk wanita yang lebih muda.

Apa yang ditulis adalah dapatan kajian tersebut. Mungkin kebenarannya jauh dari realiti. Hanya tuan badan sahaja yang mengetahuinya.

Satu artikel yang bertajuk I don’t want to get married menjelaskan bahawa ramai wanita yang tidak mahu berkahwin kerana terpengaruh dengan cerita-cerita yang mereka baca daripada novel, menonton drama dan filem yang tentunya banyak menceritakan tentang tragis alam perkahwinan.

Bagaimanapun, artikel tersebut juga menjelaskan bahawa kehidupan adalah lebih baik jika dikongsi. Ini bermakna kehidupan alam perkahwinan dan rumah tangga membawa banyak makna kegembiraan dan juga kepuasan hidup.

Artikel itu berakhir dengan mengajak wanita muda untuk berfikir bahawa ramai lelaki baik menunggu untuk dicintai dan mencintai. Janganlah hidup bersendirian dan menganggap ia satu kejayaan.

Soal kahwin adalah soal jodoh dan ketentuan Allah s.w.t. Tiada siapa yang boleh menolak takdir. Wanita yang tidak berkahwin kerana tidak bertemu jodoh tidak boleh dipandang negatif dan perlu dihormati.

Banyak juga faktor-faktor lain yang menyebabkan wanita tidak berkahwin. Apapun, mereka wajar menikmati sebuah kehidupan yang bahagia.

Jangan hanya kerana mereka tidak berkahwin, masyarakat memandang serong kepada mereka.

Begitu juga mengenai isteri yang ditinggalkan suami, bercerai atau berpisah mati. Status perkahwinan mereka tidak boleh menghalang mereka untuk menikmati sebuah kehidupan yang bahagia. Masyarakat juga tidak wajar mempunyai persepsi negatif terhadap mereka.

Menganggap perkahwinan sesuatu perkara yang menyusahkan perlu direnungkan semula kerana kehidupan dalam apa pun keadaan, berkahwin atau tidak menghadapi cabaran-cabaran tersendiri dan perlu dilalui dengan penuh kesabaran. Pelbagai keadaan yang tidak terduga mungkin berlaku dan mungkin tidak berlaku.

Perkahwinan seperti juga bentuk kehidupan lain. Ada suka dan dukanya.

Institusi perkahwinan yang sah adalah sebagai ikatan kekeluargaan bagi menyambung zuriat dan juga perkembangan umat manusia.

Penyambungan zuriat dan perkembangan umat manusia wajar berlaku bagi melahirkan generasi pelapis yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Ini penting bagi mewujudkan generasi baru yang berilmu dan pencorak kemajuan masa depan.

Semua pihak perlu berganding bahu membangunkan institusi kekeluargaan khususnya di kalangan masyarakat belia supaya mereka menyedari dari awal lagi bahawa ikatan perkahwinan itu adalah sesuatu yang penting.

Monday, January 01, 2007

Kota Tinggi tenggelam

Kota Tinggi tenggelam pada 21 Disember 2006.