Puasa: Patuhi arahan ubat
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
PEJAM celik, serasa baru semalam kita menjalani ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri di kampung halaman bersama sanak saudara nan tercinta. Masih terngiang-ngiang lagu Satu Hari Di Hari Raya nyanyian M. Nasir berkumandang di corong radio manakala pada sebelah malamnya pula, anak-anak kecil riang bermain bunga api. Jika tiada aral, umat Islam di seluruh negara bakal menjalani rukun Islam ketiga itu genap sebulan bermula 24 September 2006 yang jatuh pada Ahad depan. Bagaimanapun, tarikh sebenar puasa dan hari raya tertakluk sepenuhnya kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Jadi, masih ada masa seminggu lagi bagi para pesakit untuk berjumpa doktor masing-masing mengenai preskripsi pengambilan ubat masing-masing pada bulan puasa sekiranya masih ragu-ragu.
Seperti biasa banyak persoalan yang diajukan oleh orang ramai kepada para pengamal perubatan berkaitan puasa dan penyakit yang mereka hidapi serta ubat-ubatan yang perlu diambil.Puasa yang disyariatkan di dalam Islam ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari. Jadi, tempoh mengambil ubat semasa bulan puasa menjadi pendek iaitu di antara waktu selepas berbuka dan bersahur."Puasa pada bulan Ramadan difardukan kepada setiap individu Muslim dan Muslimah yang telah akil baligh dan ketiadaan uzur syar'i. "Tetapi apabila seseorang itu tidak sihat dan berpuasa boleh memudaratkan kesihatannya, wajib baginya untuk berbuka,'' kata Kol. (B) Dr. Abd. Rahman Mohd. Ali.
Menurut Pakar Runding Perubatan dan Kardiologi di Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam, Selangor itu, biasanya doktor akan menasihati seseorang itu bila ia tidak digalakkan berpuasa. "Lazimnya, ini berlaku apabila seseorang itu menghidapi penyakit yang tidak stabil dan memerlukan rawatan rapi, intensif dan pengambilan ubat dengan lebih kerap serta kaedah rawatan yang boleh membatalkan puasa seseorang pesakit.'' katanya.
Contoh keadaan penyakit yang lazimnya tidak dibenarkan berpuasa adalah:
* Pesakit lelah atau asma di mana lelahnya tenat atau kawalan tidak baik dan memerlukan rawatan nebulizer atau inhaler (penyedut) yang kerap dan berkala.
* Pesakit kencing manis yang kerap memerlukan suntikan insulin dan sering mengalami kekurangan gula dalam darah (hipoglisemia) bila berpuasa.
* Pesakit jantung yang perlu mengambil ubat mengikut jadual yang kerap dan tepat.
* Pesakit ulser peptik (gastrik) yang tenat dan ada komplikasi.
* Penyakit cirit-birit hingga menyebabkan berlakunya kekeringan dan memerlukan rawatan rehidrasi.
* Wanita mengandung yang muntah teruk.
Dr. Abd. Rahman berkata, bagi yang menghidap penyakit kronik yang stabil tetapi memerlukan rawatan berkala serta menyukarkan berpuasa dan ingin berpuasa, perlulah berunding dengan doktor mereka.
"Pesakit perlu berbincang dengan doktor sekiranya boleh mengolah kekerapan pengambilan ubat atau mengubah ubat yang perlu diambil kepada jenis yang boleh diambil sekali atau dua kali sehari.
"Biasanya doktor akan menasihati pesakit untuk mengambil ubat sebelum atau selepas makan kerana ada penyerapan ubat yang bergantung kepada isi kandungan perut dan ada berlaku interaksi sesetengah ubat dan makanan,'' ujarnya.
Arahan ini perlu dipatuhi supaya ubat yang diambil memberikan kesan lebih sempurna.
"Arahan ini tidak menyukarkan untuk seseorang berpuasa kerana kita boleh ambil ubat mengikut arahan sebelum atau selepas sahur atau berbuka.
"Bila perlu ambil ubat sebelum makan, pesakit dinasihatkan berbuka dengan air dan buah kurma dan makan ubat dahulu sebelum memakan makanan utama selepas solat maghrib,'' kata Dr. Abd. Rahman. Kini terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan yang hanya perlu diambil sekali atau dua kali sehari berbanding dahulu di mana ubat itu perlu diambil secara lebih kerap.
Contohnya, kebanyakan ubat darah tinggi, kencing manis dan antibiotik kini hanya perlu diambil sekali atau dua kali sehari. Ini tentulah memudahkan pesakit yang tidak tenat dan ingin berpuasa kerana mereka boleh mengambil ubat semasa sahur dan berbuka.Jelas Dr. Abd. Rahman, terdapat juga ubat-ubatan yang lazimnya diambil dalam bentuk pil/tablet atau cecair kini disediakan dalam bentuk aplikasi tempatan seperti koyok, tampalan, jel dan krim sapuan. Contohnya, ubat nitrogliserin yang arahannya diletakkan di bawah lidah oleh pesakit jantung semasa sakit dada. Kini, pesakit boleh mendapatkannya dalam bentuk tampalan pada dada.
Sementara itu, ubat penahan sakit antiradang bukan steroid (NSAIDs) ada dalam bentuk jel dan koyok. Bagi pesakit yang perlu menggunakan ubat-ubatan diuretik disaran mengambilnya pada sebelah malam dan bukannya sewaktu bersahur.
Diuretik merawat tekanan darah tinggi, edema dan glaukoma yang boleh menyebabkan kekerapan membuang air kencing dan akibatnya kekurangan air dalam badan, "Suka saya menekankan di sini, jika anda mempunyai apa-apa jua kemusykilan tentang rawatan yang anda ambil berkaitan puasa, berbincanglah dengan doktor anda cara-cara untuk mengatasinya. "Ingat, jangan ubah dos dan kekerapan pengambilan ubat anda sebelum berbincang dengan doktor,'' saran Dr. Abd. Rahman. Selamat menunaikan ibadah berpuasa dalam keadaan sihat sejahtera buat seluruh umat Islam, khususnya para pembaca Mingguan Malaysia.
Banyak berlaku kemusykilan di kalangan pesakit tentang batal atau tidak puasa mereka dengan pengambilan ubat mereka secara berikut:
* Ubat titisan mata - tidak batal
* Ubat titisan telinga dan semburan hidung - batal
* Ubat sapu pada kulit (krim atau jel), koyok tampalan kulit - tidak batal
* Pesari atau cucian alat sulit yang dimasukkan ke dalam faraj - batal
* Segala jenis suntikan (suntikan otot, sendi, kulit dan pembuluh darah) - tidak batal
Begitu juga tidak batal sekiranya suntikan pembuluh darah dilakukan dengan niat untuk menghilangkan kepenatan berpuasa mahu pun memberi tenaga yang diberikan melalui drip atau titisan
* Pengambilan oksigen dan gas pelali - tidak batal
* Spray atau semburan mulut (termasuk inhaler) - batal
Bagaimanapun, sekiranya ubat diambil menggunakan balang aerochamber di mana ubat di sembur di dalam balang, pesakit bernafas melalui balang (seperti pesakit yang diberikan oksigen) dan bukannya inhaler yang bertindak secara langsung ke dalam mulut
* Kumuran - tidak batal
* Ubat yang diletakkan di bawah lidah - batal
Jika arahan ubat pada hari-hari biasa adalah seperti di bawah,bagaimanakah ia boleh diambil atau diubah sepanjang bulan Ramadan?
Jika arahan mengambil ubat adalah - anda boleh:
Sekali sehari sebelum atau selepas makan - Ambil sebelum atau selepas bersahur, dan kalau ingin mengambilnya semasa berbuka, berbuka dahulu dengan air dan buah tamar dan ambil ubat. Ambil makanan utama selepas 20 hingga 30 minit kemudian.
Jika arahan selepas makan, ambil ubat selepas berbuka. Adalah digalakkan untuk berbuka dengan air dan buah kurma, rehat atau solat maghrib dahulu, baru makan makanan utama.
Dua kali sehari selepas makan - Ambil ubat selepas bersahur dan berbuka.
Dua kali sehari sebelum makan - Ambil ubat sebelum sahur dan berbuka dahulu dengan air dan buah kurma dan ambil ubat. Selepas itu, baru makan makanan utama.
Tiga kali sehari selepas makan - Ambil ubat selepas berbuka, sebelum tidur sekitar pukul 12 tengah malam dengan minuman dan selepas bersahur.
Tiga kali sehari sebelum makan - Sama seperti di atas tetapi sebelum makan
Setiap lapan jam - Kalau tiada pilihan dan penyakit anda tenat atau tidak stabil, patuhilah arahan doktor anda.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home