Ragam manusia

Thursday, October 12, 2006

Muka hantu di pelepah pinang

KEPALA BATAS: Orang ramai yang berpusu-pusu ke Kampung Paya di sini, untuk melihat pokok pinang berwajah manusia dinasihatkan supaya tidak mengaitkannya dengan kepercayaan tertentu kerana boleh menjejaskan akidah.

Timbalan Mufti Pulau Pinang, Ghazali Saad, ketika dihubungi berkata, sekali pandang wajah pada pokok pinang berkenaan kelihatan seperti wajah orang tua.

Katanya, orang ramai tidak harus mengaitkan kewujudan wajah manusia pada pokok pinang itu dengan kepercayaan tertentu kerana ia boleh menjerumuskan mereka pada unsur khurafat malah boleh menjejaskan akidah.

"Sekadar pergi melihat tidak mengapa tetapi jangan sehingga mencapai tahap memuja kerana pokok pinang juga makhluk Allah," katanya.

Sebelum ini, ada pengunjung India cuba menabur bunga berhampiran pokok pinang berkenaan dipercayai untuk tujuan tertentu tetapi dilarang penduduk kerana bimbang berlaku perkara bercanggah dengan Islam.

Sementara itu, ada pihak dikesan sengaja memotong beberapa akar pokok pinang berkenaan untuk tujuan tertentu, semalam.

Walaupun kawasan sekitar pokok itu dipasang tali untuk menghalang orang ramai menghampirinya, ada yang mengambil kesempatan memotong akarnya pada awal pagi.

Penduduk, Abdullah Baharom, 53, berkata dia hanya menyedari beberapa akar pokok pinang itu dipotong kira-kira jam 7 pagi semalam.

"Ramai yang datang untuk melihat sendiri pokok pinang berwajah manusia sehingga lewat malam. Kemungkinan ada pihak memotong akarnya pada awal pagi antara jam 2 hingga 5 pagi untuk mengelak dikesan," katanya ketika ditemui, semalam.

Pokok pinang berusia kira-kira 10 tahun itu dikatakan tumbuh sendiri berhampiran rumah arwah ibu Abdullah, Che Yah Husain.

Sejak wajah manusia jelas kelihatan pada seludang pokok pinang itu enam hari lalu, orang ramai tidak henti-henti mengunjungi kampung berkenaan untuk melihat sendiri selepas terbaca dalam akhbar dan maklumat rakan.

Nurzaidah Zainal Badri, 23, dari Jabatan Pertanian Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, berkata semalam adalah kali pertama dia melihat pokok pinang berwajah manusia.

"Ia satu keajaiban Tuhan," katanya yang mendapat berita selepas terbaca akhbar, kelmarin.




0 Comments:

Post a Comment

<< Home